Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia

Sejarah Silat Chekak Silat Papan Sekeping

Menelusuri sejarah perguruan, susur pewarisan ilmu, amanah guru serta kesinambungan kepimpinan Silat Chekak Silat Papan Sekeping dari generasi terdahulu hingga masa kini.

Susur Perguruan

Garis Masa Perguruan

Klik nama tokoh untuk membuka bahagian sejarah berkaitan.
Sejarah Awal Perguruan

Asal Usul dan Perkembangan Perguruan

Silat Chekak Silat Papan Sekeping berasal dari Negeri Kedah iaitu semasa zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajudin. Silat ini hanya diajar dikalangan Panglima-Panglima Istana Kedah. Selepas peperangan dengan Kerajaan Siam, Panglima Ismail yang merupakan Panglima Kanan ketika itu telah dikurniakan Parang Lading oleh Sultan dengan amanat agar mengajar ilmu silat kepada rakyat. Panglima Ismail telah mengasaskan Silat Chekak Kedah.

Panglima Ismail kemudiannya perturunkan Silat Chekak kepada Panglima Tok Rashid. Panglima Tok Rashid yang berasal dari Sungai Daun, Kedah, telah berpindah ke Kerian, Perak apabila Kedah dilanda wabak taun. Seterusnya Panglima Tok Rashid telah menyerahkan Silat Chekak kepada Yahya Said sebagai pemegang amanah dengan pesanan tidak mengajarkan Silat Chekak kepada sesiapa kecuali apabila ada pewaris dari Kedah.

Pak Ya dengan amanahnya telah menyimpan Silat Chekak selama 40 tahun sebelum bertemu dengan Ustaz Hanafi.

Selepas menerima wasiat yang ditinggalkan oleh Panglima Tok Rashid, Ustaz Hanafi mengijazahkan semula semua penuntut pertama sehingga berjaya menamatkan pelajaran Silat Chekak.

“Jika ada anak cucuku di Kedah yang hendak belajar, hendaklah kau pulangkan kembali.”Wasiat Panglima Tok Rashid

Perakuan lisan ini dibuat oleh Encik Yahya Said (Pak Ya) dihadapan ramai. Pada majlis penamat kelas yang pertama dirumah En Syafie Darus, Pak Ya ada berkata: “Ambillah balik hak tok nenek hangpa orang Kedah. Aku tak cari makan dengan silat.”

Dengan kebijaksanaan Almarhum Ustaz Hanafi, yang dapat melihat pergerakan menangkis serangan dan menamatkan serangan lawan adalah cetusan dari pergerakan solat. Beliau menyusun semula buah pelajaran Silat Chekak menjadi silibus yang mudah dipelajari berasaskan dengan fahaman Agama Islam.

Panglima-Panglima Kedah

Panglima Ismail dan Panglima Tok Rashid

Riwayat kesinambungan ilmu daripada Panglima Ismail kepada Panglima Tok Rashid sebelum diamanahkan kepada Yahya Said.

Panglima Ismail1795 – 1897
Panglima Tok RashidRashid bin Awang Lahat
1836 – 1943
AsalSungai Daun, Yan, Kedah
Tempat AkhirKerian

Panglima Ismail dipercayai meninggal dunia sekitar tahun 1897 dan dikebumikan di daerah Kerian. Sebelum meninggal dunia, beliau telah mewariskan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid yang berasal dari Sungai Daun, Yan, Kedah.

Panglima Tok Rashid kemudiannya berhijrah ke Kerian setelah Kedah dilanda wabak taun. Menurut riwayat informan, nama sebenar beliau ialah Rashid bin Awang Lahat dan dilahirkan sekitar tahun 1836.

Beliau berkahwin dengan Jeliah binti Mat dan dikurniakan seramai 16 orang anak. Menurut riwayat tersebut, anak yang ke-16 telah diserahkan kepada Sultan Abdul Hamid sebagai anak angkat.

Panglima Tok Rashid merupakan orang kesayangan Panglima Ismail. Ketika berkhidmat dengan Sultan, beliau pernah bertugas di Perlis sebelum kembali ke Yan.

Ketika berada di Sungai Acheh, Yan, beliau menerima ilmu persilatan daripada Panglima Ismail.

Selepas wabak taun besar melanda Kedah, Panglima Tok Rashid berpindah ke Kerian dan menetap di sana sehingga meninggal dunia sekitar tahun 1943 pada zaman Jepun ketika berusia kira-kira 107 tahun.

Beliau dikebumikan di kawasan perkuburan kaum kerabat di Kampung Changkat Keledang. Menurut riwayat, makam beliau berada berdekatan dengan makam Panglima Ismail.

Awang Lahat

Catatan The Burney Papers yang dirujuk dalam riwayat tersebut menyebut Awang Lahat sebagai salah seorang pejuang Melayu dari Pulau Pinang yang membantu Tunku Kudin dan Tunku Long Puteh dalam serangan ke atas Kedah pada tahun 1829.

Menurut Informan 1, Awang Lahat ialah bapa kepada Panglima Tok Rashid.
Rangkaian Pewarisan Ilmu
Panglima Ismail
→
Panglima Tok Rashid
→
Yahya Said
→
Ustaz Hanafi

Sewaktu di Kerian, Panglima Tok Rashid sempat mengajar ilmu ini kepada beberapa orang antaranya Encik Yahya bin Said yang berasal dari Batu Kurau, Perak.

Ilmu tersebut diperturunkan dan diamanahkan kepada Yahya Said sekitar tahun 1925.

“Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali.”Wasiat lisan Panglima Tok Rashid kepada Yahya Said
Yahya Said
Encik Yahya bin SaidPemegang Amanah1925 – 1965
Ustaz Hanafi
YM Ustaz Haji Hanafi bin AhmadPengasas Silat Chekak Kedah1965 – 1986

Yahya Said memegang amanah ilmu tersebut selama kira-kira 40 tahun sebelum bertemu dengan Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah.

Oleh kerana minat Ustaz Hanafi yang mendalam, beliau meminta Yahya Said mengajarkan Silat Chekak kepada sekumpulan 20 orang penuntut baharu.

Peristiwa tersebut berlaku pada 28 Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385 Hijrah di rumah Encik Shafie Darus, Alor Setar, Kedah.

Silat ini kemudiannya digerakkan melalui kerjasama dengan Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

“Apabila bertemu dengan Guru Yang Mursyid lagi Siddiq, hendaklah kamu berkhidmat dengannya seluruh hayat kamu.”
Tokoh Perkembangan Silat Chekak

Haji Hussin bin Mohamad – Pak Hussin Kelantan

Catatan perjalanan Pak Hussin Kelantan, persahabatan beliau dengan Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad serta peranan beliau dalam perkembangan Silat Chekak di Kuala Lumpur.

Haji Hussin bin Mohamad Pak Hussin Kelantan
Pak Hussin KelantanHaji Hussin bin Mohamad – Pak Hussin KelantanTokoh perkembangan Silat Chekak di Kuala Lumpur
Pak Hussin Kelantan bersama Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad
PersahabatanPak Hussin Kelantan & Ustaz Haji Hanafi bin AhmadHubungan persahabatan sejak zaman muda
NamaHaji Hussin bin Mohamad – Pak Hussin Kelantan
Dikenali SebagaiPak Hussin Kelantan
DilahirkanSekitar 1924
Kampung Sokor, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan
Meninggal Dunia14 Jun 2005
7 Rabiulakhir 1426

Haji Hussin bin Mohamad yang lebih dikenali sebagai Pak Hussin Kelantan dilahirkan sekitar tahun 1924 di Kampung Sokor, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan. Catatan kelahirannya telah didaftarkan pada tahun 1929.

Beliau mendapat pendidikan pondok di Kelantan selama kira-kira 14 tahun. Pak Hussin kemudiannya turut berguru kepada Pak Haji Zain dengan merujuk kitab Hikam Ibni Ataillah.

Pada awal tahun 1950-an, Pak Hussin merantau ke pantai barat Semenanjung. Perjalanan beliau membawa beliau ke Bagan Serai, Perak sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah.

Sewaktu berada di Kedah, Pak Hussin pernah tinggal di beberapa kawasan sekitar Alor Setar, antaranya Anak Bukit, Titi Gajah, Lorong Bendahara, Jalan Lumpur dan Kepala Batas.

Di Kedah inilah beliau berkenalan dengan Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad. Hubungan tersebut berkembang menjadi persahabatan yang rapat.

Pak Hussin dan Ustaz Hanafi turut mempunyai hubungan dengan Pak Haji Zain yang dikenali sebagai Lebai Zain atau Lebai Putaq Alam, khususnya dalam pengajian ilmu tauhid dan kefahaman agama.

1962
Pak Hussin mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur bagi memperbaiki kehidupan. Beliau mengusahakan kedai makan di Jalan Raja Bot berhampiran Pejabat Pos lama Jalan Tunku Abdul Rahman.
1969
Selepas peristiwa 13 Mei 1969, nama Pak Hussin menjadi antara yang disebut dalam usaha perdamaian masyarakat di sekitar Datuk Keramat, Kampung Baru, Chow Kit, Tiong Nam dan Kampung Siam melalui semangat Muhibbah.
Selepas 1969
Selepas keadaan kembali aman, Pak Hussin menjemput Ustaz Hanafi yang memimpin Silat Chekak Kedah datang ke Kuala Lumpur bagi membantu usaha mendidik masyarakat dengan nilai tauhid dan kemanusiaan.
1971
Kegiatan Silat Chekak pada peringkat awal digerakkan bersama Biro Sukan Persatuan Bawean Putra.

Pada tahun tersebut, Persatuan Seni Silat Chekak Malaysia didaftarkan dengan alamat di kediaman Pak Hussin Kelantan, No. 31 Lorong Keramat 19, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
1972–1973
Dalam ketegangan antara Chekak dan Lincah pada ketika itu, Pak Hussin mengambil langkah bagi mengelakkan pertandingan yang boleh membawa kepada pertelingkahan serta permusuhan sesama Melayu.
1975
Pada sambutan 10 tahun Silat Chekak, beliau dikurniakan Pingat Bintang Berjasa, namun menurut catatan beliau menolaknya kerana bukan matlamatnya untuk mengukir nama.
1976
Pak Hussin mula mengumpul dan menulis berkaitan ilmu tauhid, akhlak, tasawuf, ilmu mengenal diri dan bidang-bidang berkaitan.
1993
Pada tahun 1993, ketika berlaku perbezaan pandangan berkaitan kepimpinan perguruan, Pak Hussin telah mencadangkan kepada keluarga Almarhum Ustaz Hanafi serta pihak pengurusan supaya sebuah persatuan lain ditubuhkan sebagai salah satu jalan penyelesaian.

Menurut catatan sejarah persatuan, cadangan tersebut bertujuan meredakan ketegangan, menjaga keharmonian dalam kalangan ahli serta mengelakkan perselisihan daripada berlarutan.

Persatuan tersebut kemudiannya dikenali sebagai PSSCUHM.
2005
Haji Hussin bin Mohamad meninggal dunia pada 14 Jun 2005 bersamaan 7 Rabiulakhir 1426 pada usia sekitar 81 tahun.
Perkembangan Silat Chekak di Kuala Lumpur

Pada peringkat awal, kegiatan Silat Chekak digerakkan bersama Biro Sukan Persatuan Bawean Putra atas hubungan baik Pak Hussin dengan masyarakat sekitar Kampung Datuk Keramat yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Bawean.

Pak Hussin juga dicatatkan sebagai antara empat orang yang bertanggungjawab dalam reka cipta lambang Silat Chekak yang digunakan oleh persatuan pada zaman tersebut.

Pada penghujung tahun 1980-an, Pak Hussin berhenti mengusahakan kedai makan dan memberikan tumpuan yang lebih besar kepada penulisan ilmu-ilmu agama.

Antara bidang yang ditulis dan disampaikan beliau termasuk ilmu tauhid, akhlak, tasawuf dan ilmu mengenal diri.

Pak Hussin Kelantan meninggal dunia pada 14 Jun 2005 bersamaan 7 Rabiulakhir 1426 kerana sakit tua pada usia sekitar 81 tahun.

Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Datuk Keramat, dengan catatan pusara bernombor 1136.

Kesinambungan Sanad Perguruan

Susur Kepimpinan Guru Utama

Guru Utama Silat Chekak

YM Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad

Catatan kepimpinan dan kesinambungan perguruan Silat Chekak di bawah YM Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad.

YM Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad
YM Ustaz Haji Hanafi bin AhmadGuru Utama Silat Chekak1965 – 1986
Guru Utama Silat Chekak

YM Tuan Haji Ishak bin Itam – Pak ‘Ak

Catatan perjalanan ilmu, perjuangan dan kepimpinan Haji Ishak Itam dalam Silat Chekak.

YM Tuan Haji Ishak bin Itam
YM Tuan Haji Ishak bin Itam – Pak ‘AkDikenali sebagai Pak ‘AkGuru Utama Silat Chekak1986 – 2012
NamaHaji Ishak bin Itam
Dikenali SebagaiPak ‘Ak
AsalSimpang 4 Kangkong, Batu 6, Alor Setar, Kedah
KedudukanGuru Utama Silat Chekak

Haji Ishak Itam, Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia tahu erti-maksud perjuangan itu. Walaupun tidak pernah terfikir atau terlintas akan menjadi pemimpin tertinggi apatah lagi dapat kepercayaan ahli-ahli untuk menjadi guru utama sesebuah pertubuhan terbesar di negara ini. “Saya tidak pernah terfikir dan apabila diminta untuk menjadi guru utama, saya tersentak dan banyak berdoa…” kata Haji Ishak atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Ak’.

“… selagi bernafas, selagi itu hidup. Selagi hidup selagi itulah ilmu dicari. Ilmu yang tiada penghujung”.

Begitu juga dalam perjuangan. Selagi bernyawa mereka yang sudah menyimpan atau perasaan yang sudah tersimpan akan terus bersemangat untuk langkah ke depan. Ada yang perlu bersingseng lengan, ada yang tidak perlu. Namun perjuangan peribadi wajar diaruskan supaya ia mengalir ke satu arah. Arah mungkin tidak menentu tetapi tetap kembali ke satu. Yang faham akan perjuangan tidak berganjak, yang mengerti erti perjuangan akan berlangkah untuk menyambung. Ini amanah dan ini juga amanat batin.

Ditanya mengenai perjuangan, dengan pantas tetapi senyum; “Masih banyak untuk diperjuangkan. Terutama dalam perpaduan antara umat Islam,” Haji Ishak dilahirkan di Simpang 4 Kangkong, Batu 6, Alor Setar, Kedah kira-kira 63 tahun lalu. Ayah beliau keturunan Banjar manakala ibunya (Patimah Mat Din) dari Setoi. Dulu Setoi di bawah jajahan Kedah, kini di bawah jajahan Thailand. Haji Ishak adalah nombor tiga dalam bilangan 11 adik beradik.

Ikut sejarah, bapanya ada mewarisi darah pendekar dan ulama manakala ibunya pula Panglima Tahar iaitu seorang panglima seangkatan Panglima Ismail. Panglima-panglima ketika itu mengawal raja dan negeri serta mahir dalam seni tempur.

“Saya masih menyimpan senjata datuk saya seperti keris dan badik manakala tombak disimpan oleh adik saya (Ahmad Itam) yang tinggal di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam,” kata Haji Ishak yang ditemui di Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Seperti pepatah; ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Usia 9 Tahun
Haji Ishak mula mendapat dedahan ilmu persilatan daripada bapanya.
Usia 9–18 Tahun
Beliau mempelajari seni silat Gayong Fatani dengan bapa saudaranya, Bakar Din, sebelum beralih kepada Kuntau Jawa di bawah asuhan Hasan Jawa.
Selepas Itu
Haji Ishak meneruskan pencarian ilmu melalui Tok Awang dari Pendang, Silat Sendeng, Silat Minangkabau dan Tomoi Siam daripada Osman Ahmad yang dikenali sebagai Man Balak. Menurut catatan beliau, beliau belajar sehingga menjadi guru tomoi selama dua tahun.
1969
Haji Ishak mendapat tahu mengenai Ustaz Hanafi Haji Ahmad yang membuka kelas di Kubang Semang. Pertemuan tersebut menjadi titik penting apabila beliau mula mengenali Silat Cekak.
1969
Haji Ishak menjadi murid ke-17 Ustaz Hanafi. Beliau menamatkan pelajaran dalam tempoh dua bulan 10 hari atau sekitar 30 kali latihan.
Selepas 1969
Beliau mengambil keputusan untuk terus bersama Silat Cekak dan menjadi jurulatih. Haji Ishak kemudiannya mengajar kelas latihan di Seberang Perai dan Pulau Pinang, selain terlibat dalam penerangan dan demonstrasi.
13 Ogos 1986
Ustaz Hanafi meninggal dunia.
21 September 1986
Haji Ishak diisytiharkan sebagai Guru Utama Silat Chekak.
Perjalanan Bersama Silat Chekak

Haji Ishak menyatakan bahawa beliau tertarik kepada Silat Cekak selepas mencuba beberapa pukulan daripada ilmu persilatan yang pernah dipelajarinya terhadap Almarhum Ustaz Hanafi.

“Saya kagum dengan Silat Cekak. Almarhum Ustaz Hanafi suruh saya mencubanya dengan beberapa buah pukulan terbaik yang saya pelajari… saya tewas.”

“Bagaimanapun balasan pukulan saya disambut dengan tidak mencederakan saya.”

Kenapa beralih ke Cekak? Soal penulis. Haji Ishak dengan terbuka memberitahu banyak buah dari perguruan yang dipelajari tewas.

“Termasuk dapat mengatasi Tomoi Siam…” jawabnya ringkas.

“Hampir setiap malam latihan saya cuba Almarhum Ustaz Hanafi tetapi tak berjaya juga,” senyum Haji Ishak.

“Saya tidak pernah menduga untuk menjadi pemimpin. Saya sukar untuk membuat keputusan dan ketika itu banyak berdoa,” ujarnya.

Mengenai Silat Cekak, Haji Ishak memberitahu pendidikan perguruan itu mengajar seseorang erti keyakinan.

“Cekak membawa erti tanggungjawab terhadap keluarga, diri dan sebagainya. Permainan Cekak berdiri lurus sama seperti seseorang itu diajar jangan berbohong sombong atau berdabik dada sebaliknya jujur, tetapkan pendirian dan pelbagai lagi,”Haji Ishak Itam
Catatan Perguruan

Tenang Dalam Perjuangan

Catatan mengenai perjalanan ilmu, perjuangan dan kepimpinan YM Tuan Haji Ishak bin Itam yang dikenali sebagai Pak ‘Ak.

Guru Utama Silat Chekak Silat Papan Sekeping

Tuan Tabib Haji Mohd Soleh bin Hussin

Catatan kesinambungan perguruan dan kepimpinan Tuan Tabib Haji Mohd Soleh bin Hussin.

Tuan Tabib Haji Mohd Soleh bin Hussin
Tuan Tabib Haji Mohd Soleh bin HussinGuru Utama Silat ChekakAnak Angkat Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad2012 – 2022

Setelah menerima amanat daripada YM Tuan Haji Ishak bin Itam, Tuan Tabib Mohd Soleh bin Hussin telah mengisytiharkan dirinya sebagai Guru Utama Silat Chekak pada 4 Februari 2012 bersamaan 11 Rabiul Awal 1433 dengan menerima 27 orang penuntut awal.

Peristiwa ini berlaku di kediaman beliau di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Latar Perguruan

Anak Angkat Almarhum Ustaz Hanafi

Catatan mengenai hubungan asuhan dan perguruan Tuan Tabib Mohd Soleh bersama Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad.

Ketika berumur 16 tahun, Tuan Tabib Mohd Soleh telah diserahkan kepada Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Ahmad sebagai anak angkat.

Sejak itu beliau berada di bawah jagaan dan asuhan Ustaz Hanafi serta dididik dengan acuan budaya dalam agama.

Kedudukan beliau sebagai anak angkat Ustaz Hanafi menjadikan hubungan antara kedua-duanya bukan sahaja dalam konteks perguruan, tetapi turut melibatkan hubungan asuhan dan pembentukan peribadi sejak usia muda.

Tuan Tabib Mohd Soleh mula tinggal bersama Ustaz Hanafi pada bulan Ramadhan tahun 1974 di rumah Persatuan Silat Chekak yang pertama di Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

Pada waktu itu Ustaz Hanafi tinggal sendirian kerana keluarganya masih di Kedah kecuali anak yang sulong.

Pejabat Persatuan Seni Silat Chekak Kampong Bharu
Pejabat Persatuan Seni Silat Chekak
Kampong Bharu, Kuala Lumpur pada tahun 1973
Pesanan Tuan Tabib Mohd Soleh

Tuan Tabib Mohd Soleh yang dikenali sebagai Ayah Su sentiasa berpesan akan janji pantang larang yang ke-4 Silat Chekak iaitu tidak boleh bergaduh sesama ahli sedangkan pada hari ini terdapat 4 persatuan yang berdaftar.
“Bagi saya Silat Chekak tidak pernah berpecah. Jika diumpamakan sepohon pokok durian, pokok akan mengeluarkan dahan baru sebagai lumrah alam atau Sunnatullah (yang tetap satu hanya Allah). Walaupun begitu setiap dahan mengeluarkan hasil buah yang tidak sama rasa.”Sumber: Majalah Seni Bela Diri, April 2015
Guru Utama & Presiden PSCSPSM

Tun Mohamad Rahmat Bin Mohd Jawahir

Catatan kesinambungan perguruan, kepimpinan organisasi dan pembangunan Silat Chekak Silat Papan Sekeping.

Tun Mohamad Rahmat Bin Mohd Jawahir
Tun Mohamad Rahmat Bin Mohd Jawahir Guru Utama & Presiden PSCSPSM 2022 – Kini

Tuan Mohamad Rahmat bin Mohd Jawahir, yang turut dikenali dengan nama gelar Tun Rahmat, merupakan Guru Utama dan Presiden Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM).

Tun Mohamad Rahmat bin Mohd Jawahir mempunyai susur keturunan yang berkait dengan dua jalur keluarga yang signifikan dalam sejarah keluarganya. Di sebelah Ayahanda, beliau mempunyai pertalian keturunan dengan Pak Hussin Kelantan, manakala di sebelah Ibunda, susur keturunannya dikaitkan dengan Megat Terawis melalui jalur Megat Muhammad dan Tok Amir, anak Tok Kaya Muda.

Nama gelar “Tun Rahmat” turut dikaitkan dengan susur keturunan Megat Terawis tersebut.

24 November 2022Pengisytiharan sebagai Guru Utama di hadapan Jawatankuasa Induk PSCSPSM bersama Majlis Tertinggi Pelajaran dan Tatatertib.
26 November 2022Majlis Perisytiharan Guru Utama PSCSPSM di Rumah Persatuan, Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Setelah menerima amanat secara lisan daripada Almarhum Tabib Mohd Soleh, pada malam 30 Rabiul Akhir 1444H bersamaan 24 November 2022, Tuan Mohamad Rahmat bin Mohd Jawahir mengisytiharkan dirinya sebagai Guru Utama Silat Chekak Silat Papan Sekeping di hadapan Jawatankuasa Induk PSCSPSM bersama Majlis Tertinggi Pelajaran dan Tatatertib (MTPT).

Pertemuan tersebut diketuai oleh Naib Presiden II PSCSPSM, Almarhum Tuan Taufik bin Hashim dan turut dihadiri oleh wakil keluarga Almarhum serta beberapa orang ahli lama Persatuan.

Naib Presiden II PSCSPSM, Tuan Taufik bin Hashim, benar lagi membenarkan pengisytiharan tersebut. Tiada sebarang bangkangan atau bantahan daripada para hadirin dan pengisytiharan itu diterima dalam suasana harmonis.

Guru Utama dan Presiden bersama Naib Presiden I dan Naib Presiden II PSCSPSM
Kepimpinan PSCSPSM Guru Utama dan Presiden Bersama Naib Presiden I dan Naib Presiden II Dari kiri: Tuan Amran bin Jamaludin – Naib Presiden I, Tun Mohamad Rahmat bin Mohd Jawahir – Guru Utama & Presiden, dan Tuan Taufik bin Hashim – Naib Presiden II.

Jawatankuasa Induk PSCSPSM bersama Majlis Tertinggi Pelajaran dan Tatatertib (MTPT) telah mengadakan Majlis Perisytiharan Guru Utama PSCSPSM pada malam 2 Jamadil Awal 1444H bersamaan 26 November 2022 jam 9.30 malam bertempat di Rumah Persatuan, No. 61 Jalan Blok 1 B, Bandar Tasik Puteri, 48020 Rawang, Selangor Darul Ehsan.

Naib Presiden II, Tuan Taufik bin Hashim telah membenarkan dan mengisytiharkan bagi pihak Persatuan bahawa Tun Mohamad Rahmat bin Mohd Jawahir secara rasmi sebagai Guru Utama PSCSPSM.

Dalam peranan sebagai Guru Utama dan Presiden, beliau memberi tumpuan kepada kepimpinan, penyelarasan sistem silibus mata pelajaran, pemeliharaan jati diri, pembangunan insan serta pengurusan organisasi agar perjalanan persatuan dapat dilaksanakan secara sistematik.

Sebagai penerus kepimpinan perguruan, beliau meneruskan amanat dan usaha yang telah dibina oleh guru-guru terdahulu, khususnya dalam memelihara kesinambungan ilmu serta matlamat dan tujuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping.

Keutamaan diberikan kepada usaha memastikan asas perguruan terus difahami, dipelihara dan disampaikan secara bertanggungjawab kepada generasi seterusnya.

Falsafah Guru-Guru Silat Chekak Silat Papan Sekeping

“Dikiaskan ibarat sebilah keris. Sarungnya lain-lain tetapi isinya tetap sama.”
Pegangan Perguruan

Kebersamaan Sebelum Kemenangan

Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia

error: Content is protected !!