Penggunaan Kain Putih
Adab, adat dan pengertian dalam perguruan Silat Chekak Silat Papan Sekeping.
Penerangan Utama
Penggunaan kain putih telah lama diamalkan dalam adab dan adat budaya perguruan Melayu. Setiap individu akan membawa sehelai kain putih dan sebuah pisau lipat semasa memohon untuk berguru.
Dalam budaya perguruan Melayu, kain putih memberi maksud bahawa individu tersebut memohon bimbingan dan didikan guru, ibarat sehelai kain putih yang akan dicorak atau diwarnai oleh gurunya.
Sebuah pisau lipat memberi maksud ketaatan seorang murid kepada gurunya dan kepatuhan diri kepada didikan rohani.
Selepas Majlis Penerimaan Penuntut/Pelatih Baru, setiap individu disyaratkan tidur di atas kain putih tersebut sebagai pelapik cadar untuk 3 malam berturut-turut dalam keadaan bersih dan suci.
Maksud Penggunaan Kain Putih
Amalan tidur di atas kain putih adalah untuk menanamkan kesedaran kepada ahli bahawa berguru dan menuntut ilmu adalah merupakan satu tuntutan dalam agama ke atas setiap individu untuk bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Dan juga sebagai simbolik membersihkan niat mempelajari ilmu Silat Chekak Silat Papan Sekeping.
Kain putih memberi maksud bersih. Sebagai contoh; cadar berwarna putih digunakan di hotel-hotel, asrama-asrama dan hospital-hospital bagi memberi maksud bahawa pengguna tidak perlu meragui kebersihan katil yang akan digunakan kerana cadar baru yang putih bersih digunakan setiap kali penerimaan pengguna baru.
Amalan tidur di atas kain putih adalah untuk menimbulkan keazaman memperbaiki diri, memberi peringatan tentang mati dan menimbulkan rasa keinsafan dalam hati tentang dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan di masa lalu seperti kesalahan kepada ibubapa dan keluarga, menzalimi masyarakat atau individu, tidak amanah serta perbuatan-perbuatan lain yang melanggar batas-batas adab dan agama.
Majlis Tertinggi Pelajaran & Tatatertib (PSCSPSM)