Sambutan Hari Tenaga Pengajar Ke-8 Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM) bagi Tahun 2020 bersamaan 1441 akan diadakan di Kem & Rumah Tamu Baitun Nur yang terletak di Telok Panglima Garang, Selangor pada 1 Februari 2020.
Lokasi sambutan ini telah dicadangkan oleh Ayah Su (Tuan Guru Utama Dan Presiden PSCSPSM) kerana lokasinya berdekatan dengan Istana Bandar yang tersimpan sejarah silam yang mempunyai hubung-kait dengan Sejarah Perkembangan Silat Chekak Silat Papan Sekeping.
Istana Bandar yang dahulunya dikenali dengan nama Istana Temasya telah dibina oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tahun 1899 dengan perbelanjaan baginda sendiri di sebuah perkampungan yang bernama Kampung Bandar. Kampung Bandar ini dahulunya dikenali dengan nama Kampung Bandar Temasya dan telah dibuka secara rasminya oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (Sultan Selangor ke V) pada tahun 1898.
Pembukaan ini adalah disebabkan pusat pentadbiran negeri Selangor di bawah pemerintahan Almarhum Sultan (Sir) Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah (1859 – 1898) yang sebelumnya berada di Jugra telah berpindah ke kampung ini di zaman pemerintahan baginda.

Istana Bandar
Sultan Alauddin Sulaiman Shah adalah Sultan yang memerintah negeri Selangor pada tahun 1898 hingga 1938. Baginda adalah putera kepada Raja Muda Musa dan dilahirkan pada tahun 1866 di Kuala Selangor. Semasa mudanya, baginda pernah belajar di Raffles School, Singapura dan Raja School di Kuala Lumpur. Baginda telah dilantik menjadi Raja Muda pada tahun 1887 bagi mengisi kekosongan jawatan setelah kemangkatan ayahanda baginda pada tahun 1884.


Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa
Sultan Selangor V.
Sejarah Kampong Bharu sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota bermula pada tahun 1899 melalui tanah kurniaan Sultan Selangor pada ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Keluasan asalnya ialah 223 ekar dan menaungi tujuh kampung, iaitu Kampong Hujung Pasir, Kampong Periuk, Kampong Masjid, Kampong Pindah, Kampong Paya, Kampong Atas A dan Kampong Atas B.
Seiring itu, Malay Agricultural Settlement (MAS) ditubuhkan dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 3(1) The Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1950 yang meletakkan urusan pentadbiran dan kawalan Kampung Bharu di bawah kuasa Lembaga Pentadbir MAS. Antara lain, MAS boleh membuat undang-undang kecil sendiri dan bertanggungjawab melulus dan menetapkan syarat pelan bangunan dan sambungan rumah.
Kampong Bharu Dan Sejarah Perkembangan Silat Chekak.
Pada malam 5 Ramadhan 1385 Hijrah bersamaan 28 Disember 1965 , atas daya usaha Almarhum Ustaz Hanafi Haji Ahmad, Silat Chekak telah dapat dilahirkan kembali ke alam nyata di rumah Almarhum En. Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah.
Almarhum Ustaz Hanafi telah mengambil kembali Silat Chekak dari Almarhum En. Yahya Said (pemegang amanah) setelah dipendamkannya hampir 40 tahun atas wasiat Panglima Tok Rashid; “Silat Chekak jangan di ajarkan kepada sesiapa sehingga ada pewaris dari anak cucu Kedah hendaklah di serahkan kembali.” Setelah Almarhum Ustaz Hanafi di peturunkan Silat Chekak melalui beberapa kejadian, beliau telah mengajarkan buah mata Pelajaran Silat Chekak kepada 20 orang sehingga tamat.
Kuala Lumpur dijadikan pusat perkembangan Silat Chekak pada akhir tahun 1970 apabila Almarhum Ustaz Hanafi mendapati masyarakat Kedah kurang berminat untuk mempelajari silat ini. Melalui sahabatnya Almarhum Pak Haji Hussin Bin Mohamad (ayah kepada Ayah Su), Silat Chekak digerakkan dengan kerjasama Sessi Sukan, Persatuan Bawean Putra, Kampong Datok Keramat, Kuala Lumpur.
Pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Chekak Kedah telah didaftarkan dengan alamat pendaftaran No. 31, Lorong Keramat 19, Kampong Datok Keramat, Kuala Lumpur iaitu rumah kediaman keluarga Haji Hussin bin Mohamad yang lebih di kenali sebagai Pak Hussin Kelantan.
Pada tahun 1973, persatuan ini telah menyewa sebuah rumah papan (RM 100 sebulan) di No.32, Jalan Haji Sirat, Kampong Bharu, Kuala Lumpur sebagai Pusat Latihan Ibu Pejabat yang pertama dan tempat kediaman Almarhum Ustaz Hanafi. Perkembangan Silat Chekak seterusnya bermula disini iaitu di Kampong Bharu sebagai Indeks Utama Perkembangan Silat Chekak sehingga kini.
Kampong Bharu adalah pusat penempatan Melayu yang terbesar di Kuala Lumpur pada waktu itu di mana ibu kota Kuala Lumpur adalah merupakan Pusat Pemerintahan Negara.
Pada bulan Mac 1973, Konvensyen Guru-Guru Silat Melayu telah diadakan di Dewan Sultan Sulaiman, Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Di Konvensyen ini, Almarhum Ustaz Hanafi telah menyangkal dakwaan golongan tertentu bahawa Silat Chekak berasal dari Silat Kalimah. Dakwaan secara terbuka ini telah mendapat sokongan daripada beberapa tokoh Silat Melayu yang lain pada masa itu bagi menyekat perkembangan Silat Chekak. Di Konvensyen inilah Almarhum Ustaz Hanafi mempertahankan Asal Usul Silat Chekak dan memperkenalkan kepada masyarakat bahawa Silat Chekak dikenali juga sebagai Silat Papan Sekeping seterusnya pada tahun 1975, beliau telah mengiystiharkan Silat Chekak Silat Papan Sekeping di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Persatuan Seni Silat Chekak Kedah telah di daftarkan semula sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.
Semasa zaman Almarhum Tuan Haji Ishak Bin Itam, Pusat Latihan Ibu Pejabat Kampong Bharu telah ditutup oleh ahli-ahli Silat Cekak yang telah khianat kepada beliau.
Kata-kata Almarhum Tuan Haji Ishak Bin Itam:
“Kalau kelas yang kita bukak, bolehlah kita tutup.
Ini kelas yang Ustaz Hanafi bukak, mana boleh kita tutup.”
Pesanan Almarhum Ustaz Hanafi:
“Hangpa jangan tinggai Kampong Baru.
Kalau hangpa keluar, Hangpa Habis. ”
Sehubungan peristiwa itu, beberapa orang Ahli Lama telah keluar meninggalkan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia selepas kewafatan Tuan Haji Ishak bin Itam dan menubuhkan serta mendaftarkan semula Silat Chekak Silat Papan Sekeping.
Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia telah disahkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 14 September 2012 dengan alamat berdaftar No. 31, Lorong Keramat 19, Dato’ Keramat, 54000 Kuala Lumpur sebagaimana alamat berdaftar Persatuan Seni Silat Chekak Kedah iaitu alamat kediaman Almarhum Pak Haji Hussin Bin Mohamad, ayahanda kepada Ayah Su.
Sehubungan itu, pembukaan Pusat Latihan Ibu Pejabat Kampong Bharu PSCSPSM oleh Ayah Su telah menghidupkan kembali Pusat Latihan Ibu Pejabat Kampong Bharu sebagai Indeks Utama Pentadbiran Silat Chekak Silat Papan Sekeping.
Oleh itu, semua ahli PSCSPSM hendaklah bersama bersatu hati dalam usaha memakmurkan Pusat Latihan Ibu Pejabat Kampong Bharu ini agar ianya dapat dikekalkan untuk generasi anak Melayu akan datang.
Semoga Silat Chekak Silat Papan Sekeping kekal sepanjang zaman dan semoga Kampong Bharu kekal dan terpelihara sebagai Pertempatan Melayu Terbesar di Kuala Lumpur.