PENGENALAN PSCSPSM
PERSATUAN SILAT CHEKAK SILAT PAPAN SEKEPING MALAYSIA (PSCSPSM)
Warisan Seni Silat Melayu
Seni Silat Melayu adalah Warisan Budaya Bangsa yang menekankan adat resam, budaya, ketertiban adab, keindahan budi bahasa dan sahsiah diri yang mencerminkan cara kehidupan dan identiti Bangsa Melayu itu sendiri dan ianya merupakan Warisan yang menjadi ikutan turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi. Tradisi Seni Silat Melayu menekankan rasa ketaatan, kesetiaan dan kepatuhan kepada agama, bangsa dan negara serta undang-undang dan peraturan-peraturan yang termaktub dalam Undang-Undang dan Rukun Negara. Sistem pentadbirannya yang tersusun rapi memastikan Tradisi Kepimpinan Utama (Guru Utama / Peneraju) adalah sebagai pendidik dan pembimbing yang berteraskan asuhan rohani dan jasmani yang berperanan membentuk keaslian jati diri anak bangsa.
Perguruan Persilatan Melayu
Perguruan Persilatan Melayu adalah merupakan Institusi Pendidikan Tertua bagi orang Melayu. Agama Islam adalah merupakan agama yang mudah dan boleh dianuti oleh semua bangsa. Orang Arab yang beragama Islam menekankan cara orang Arab beragama. Orang India dan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam menekankan cara bangsa mereka beragama. Perguruan Persilatan Melayu yang berteraskan Agama Islam menekankan bagaimana cara orang Melayu beragama. Warisan Budaya, Tradisi dan Pendidikannya berteraskan asuhan rohani dan jasmani yang seimbang. Kemurnian hati pengamalnya mengekalkan cara hidup yang aman, harmonis dan sejahtera.
Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia
Silat Chekak Silat Papan Sekeping bergerak di bawah sebuah persatuan yang didaftarkan dengan nama Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM) dengan Tuan Tabib Mohd Soleh Hussin sebagai Guru Utama dan Presiden. Kini PSCSPSM diterajui oleh Guru Utama dan Presiden Tun Mohamad Rahmat bin Mohd Jawahir. Antara falsafah-falsafah ilham Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad tetap menjadi panduan PSCSPSM dalam memperjuangkan warisan bangsa dan membina jati diri masyarakat khususnya orang Melayu.
Pembinaan Jati Diri Masyarakat
Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM) merupakan persatuan yang ditubuhkan untuk mendaulatkan budaya Bangsa Melayu yang berteraskan Agama Islam dalam membasmi amalan tahyul dan khurafat di kalangan masyarakat masa kini. PSCSPSM yakin dengan menerapkan budaya silat ini kepada masyarakat khasnya remaja-remaja, dapat membentuk dan membina komuniti masyarakat yang mempunyai amanah, tanggungjawab dan dedikasi kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara.
Sains dan Teknologi boleh dipelajari di mana-mana,
tapi Budaya hak milik kita
dan
“Budaya Mencorakkan Bangsa”