PERNYATAAN PERINGATAN SETIAUSAHA AGUNG PSCSPSM
- 26 January 2013
- Hits: 8829
Assalamu 'alaikum warah matulla hi wabarakatuh.
Bismilla hitawakkal tu 'alallah
La haula wala quwata illa billa hil 'aliyil 'azim.
Diantara matlamat Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM) adalah untuk mengambil bahagian dalam mendidik anak bangsa terutamanya orang Melayu dengan nilai-nilai ketuhanan dan kemanusiaan, membina jati diri agar berakhlak tinggi melalui penerapan adab-adab budaya bangsa Melayu dan Islam dengan memartabatkan budaya bangsa.
Adalah menjadi Dasar Persatuan sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan PSCSPSM Fasal 15 Larangan;-
‘Persatuan tidak boleh terlibat, bergabung atau mengadakan hubungan secara terus dengan kegiatan politik atau menggunakan nama Persatuan dalam apa jua isu-isu politik yang bertentangan dengan dasar kerajaan.’
Segala pernyataan yang bertentangan dengan Fasal 15 ini adalah tertolak dengan sendirinya dan tidak diterima sebagai Dasar Persatuan.
Apa-apa juga perbuatan ahli PSCSPSM secara individu dalam bentuk tindakan, penulisan, fahaman politik dan apa-apa kefahaman lain atau penyertaan dalam mana-mana pertubuhan atau perhimpunan yang bertentangan dengan Undang-Undang Negara, tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada Persatuan.
Peringatan tegas juga kepada semua ahli PSCSPSM supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan Nama dan Logo Persatuan dalam penulisan atau artikel individu.
Dengan ini saya mengingatkan kepada semua ahli PSCSPSM sebagaimana pesanan Guru Utama dan Presiden Tuan Tabib Mohd Soleh Bin Haji Hussin supaya memerlihara hubungan baik, mencari yang baik dan menjauhi kebanyakan sangka.
Adalah menjadi tanggungjawab semua ahli PSCSPSM memartabatkan Silat Chekak Silat Papan Sekeping ini sebagai budaya bangsa yang asli lagi bertanggungjawab bagi menerapkan nilai-nilai murni dan kecintaan kepada bangsa, agama dan negara.
Azri Bin Sulaiman
Setiausaha Agung PSCSPSM