Monday, 11 25th

Last update12:00:00 AM

 

Melayu malu mereka Melayu | PSCSPSM

SUMBER : UTUSAN ONLINE | 17 MAC 2013

SAYA diberitahu ada muda mudi Melayu yang tolak bangsa mereka sendiri. Mereka berasa malu kerana mengakui mereka Melayu menjadikan mereka rasis kononnya. Seseorang yang dicap sebagai rasis bermakna mereka berfikiran sempit, tidak liberal, tidak menepati zaman. Lebih-lebih lagi jika mereka diberi layanan yang istimewa kerana kemelayuan mereka. Ini tidak adil.

Sejak terlibat dengan usaha menebus maruah orang Melayu saya tidak segan-segan mengaku saya Melayu. Saya biasa hidup di zaman penjajah. Orang Melayu dan negeri Melayu dijajah oleh bangsa Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam. Semasa dijajah orang Melayu dipandang hina oleh penjajah. Saya biasa lihat orang Melayu ditendang di kepala hanya kerana tidak menghormati lagu kebangsaan bangsa penjajah.

Penjajah tetap berbangga dengan bangsa mereka. Tidak ada perasaan malu di kalangan mereka berkenaan bangsa mereka. Mereka tidak pula anggap diri mereka rasis. Sebaliknya mereka memelihara dan memupuk kebangsaan mereka dan betapa tingginya bangsa mereka.

Pengalaman dan pemerhatian saya di masa bangsa saya dan negeri Kedah saya dijajah, membakar semangat kebangsaan saya. Saya berniat pada masa itu untuk memulih semula maruah bangsa saya.

Dihormati

Berlainan dengan orang yang malu kerana bangsa mereka, saya malu jika bangsa saya dijajah dan dihina. Saya ingin bangsa saya dihormati oleh bangsa-bangsa lain. Saya ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Pada masa dijajah saya tidak mampu untuk memiliki kuasa supaya saya dapat buat sesuatu bagi menebus maruah bangsa. Walaupun dipandang hina oleh penjajah dan orang lain yang lebih berjaya, saya anggap dengan mengejar ilmu untuk menjayakan diri, sedikit-sebanyak saya dapat membuktikan bangsa saya berkebolehan. Sudah tentu apabila saya berkuasa sebagai Perdana Menteri maka saya tumpukan kepada mengguna apa juga kuasa dan peluang yang ada pada saya untuk membebaskan bangsa saya daripada dihina.

Caranya adalah mewujudkan peluang supaya bangsa saya dibekal dengan ilmu dan kecekapan supaya mereka maju. Alhamdulillah berkat sokongan daripada kebanyakan bangsa saya, usaha ini berhasil.

Hari ini orang Melayu tidak lagi dipandang hina, sudah tentu tidak boleh ditendang oleh sesiapa. Hari ini orang Melayu dapat menguasai ilmu, menjadi profesor di universiti, ahli professional yang terkenal, menjadi saintis, menjadi peniaga dan pengusaha yang berjaya. Mereka mengepalai tentera dengan gelaran jeneral, bijak membangunkan negara bahkan menjadi angkasawan. Dan bermacam lagi.

Kita tidak nafi yang kejayaan-kejayaan ini dihasilkan dari dasar dan rencana kerajaan untuk menjayakan orang Melayu. Apa salahnya jika kerajaan berusaha untuk mengurangkan jurang kaya miskin di kalangan rakyat. Bukankah ini satu dari tanggungjawab kerajaan. Apakah kerajaan harus terima sahaja yang miskin terus miskin, yang kaya semakin kaya.

Apakah benar orang lain tidak ditolong oleh bangsa mereka. Sebenarnya semua bangsa di dunia membantu bangsa sendiri. Mereka sanggup membunuh bangsa lain pun dalam usaha mereka menolong bangsa mereka. Kejayaan penjajah adalah kerana kebangsaan mereka. Mereka berbangga dengan bangsa mereka. Mereka mendakwa bangsa mereka superior. Dan mereka tidak pernah malu akan kebangsaan mereka walaupun semasa mereka menindas dan menghina bangsa lain.

Kepercayaan

Dalam bidang perniagaan tolong menolong sesama bangsa memang diamalkan. Cuba berniaga dengan bangsa lain? Biasanya kepercayaan kepada yang bukan sebangsa amat sukar didapati. Sebaliknya orang Melayu mempunyai inferiority complex, perasaan kerendahan diri sehingga berperasaan segala yang dilakukan oleh mereka salah dan tidak seperti orang lain. Jika mereka berjaya pun mereka akan kecam dan memburukkan yang berjaya kerana kononnya kejayaan ini bukan kejayaan sebenarnya tetapi kerana ditolong atau kerana penipuan atau dilindungi, atau kroni. Mereka turut mengecam orang Melayu yang kaya kerana percaya tuduhan mereka adalah kroni dan penipu. Mereka akan lebih lantang dari orang bukan Melayu apabila menuduh amalan yang tidak baik. Mereka menyokong penuh tuduhan yang dibuat orang lain.

Mereka sambut tuduhan rasuah terhadap orang Melayu walaupun tidak ada bukti semua yang berjaya disebabkan rasuah. Mereka tutup mata terhadap rasuah oleh orang lain. Mereka mengecatkan orang Melayu dengan cat yang terhitam mungkin.

Kita tidak nafi adanya perlakuan yang tidak baik oleh orang Melayu. Tetapi orang lain juga melakukan perkara yang sama.

Sebenarnya orang lain apabila berpeluang dan berkuasa akan amalan pilih kasih berasas bangsa. Di negara di mana orang Melayu menjadi minoriti mereka ditindas dan diketepikan. Layanan buruk ke atas Melayu minoriti tidak dicap rasis, walaupun oleh orang Melayu. Mereka anggap wajarlah ini berlaku.

Sepatutnya yang mempertahankan keMelayuan mereka ialah mereka yang mampu menukar dan menilai sendiri, dan mereka tentulah dari golongan orang Melayu yang terpelajar. Yang peliknya puak inilah yang sering memiliki inferiority complex dan malu dengan keMelayuan mereka.

Amat malang sekali apabila mereka yang menikmati kebahagiaan hidup kerana mereka Melayu, begitu malu dengan bangsa mereka sehingga sanggup menidakkan nikmat yang mereka terima kerana bangsa mereka.

Oleh TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD


SUMBER : UTUSAN ONLINE

Renungan

Wajib Menjaga Diri Sendiri,

Menerima Amanah Tuhan Rabbi,

Untuk Menjadi Mukmin Sejati,

Demi Menegak Islam Yang Suci.


Taat Ke Guru Membawa Berkat ,

Sedikit Belajar Banyak Yang Dapat,

Jika Menderhaka Mendapat Mudharat,

Semua Ilmu Tiada Yang Lekat.


Dari Mata Turun Kehati,

Tak Kenal Maka Tak Cinta,

Lain Dimulut Lain Dihati,

Adat Berkasih Hendaklah Setia.

Galeri Gambar

Hubungi Kami

  • Alamat Surat Menyurat:
    No. 31, Lorong Keramat 19,
    Dato' Keramat, 54000 Kuala Lumpur,
    Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Tel:
    019.245.9154
    - En. Mohamad Junaidi bin Ishak
    Ketua Penerangan
    016.935.7922 - En. Elham Budi bin Mohd Rozali
    Setiausaha Majlis Tertinggi Pelajaran & Tatatertib (MTPT)
    017.386.3826 - Pn. Norazizah binti Johar
    Ahli Majlis Tertinggi Pelajaran & Tatatertib (MTPT)
Anda Di Sini : Home Keratan Akhbar Melayu malu mereka Melayu