Monday, 11 25th

Last update12:00:00 AM

 

PERNYATAAN & PERINGATAN TEGAS PSCSPSM

 

MAJLIS TERTINGGI PELAJARAN & TATATERIB 

           PERSATUAN SILAT CHEKAK SILAT PAPAN SEKEPING MALAYSIA

PERNYATAAN DAN PERINGATAN TEGAS PSCSPSM

 

Berdasarkan kepada Keputusan Mesyuarat MTPT Bersama Jawatankuasa Induk PSCSPSM (Bil 03/2022)   pada 29 Disember 2022, keputusan mesyuarat adalah seperti berikut :- 

 

1)    Kelulusan Permohonan Cuti/Berehat Dan Perletakan Jawatan Dari Kalangan Penyelia/Tenaga Pengajar/Jurulatih.  

 

Dalam bulan Disember 2022, terdapat beberapa permohonan cuti/berehat dan perletakan jawatan dari kalangan Penyelia/Tenaga Pengajar/Jurulatih yang telah dimaklumkan kepada Setiausaha MTPT berikutan pertikaian dan tidak dapat menerima serta menolak Mohamad Rahmat Bin Mohd Jawahir sebagai Guru Utama PSCSPSM.  

  

Mesyuarat membuat keputusan meluluskan permohonan bercuti berehat dan menerima perletakan jawatan dari pemohon-pemohon.  

 

Atas cadangan Guru Utama PSCSPSM, mesyuarat bersetuju untuk memberi peluang kepada pemohon-pemohon untuk menarik semula permohonan dalam tempoh 40 hari bermula dari 30 Disember 2022 dengan syarat-syarat berikut :-. 

  

a)    Pemohon-pemohon hendaklah berhenti dari mencanangkan atau membuat kenyataan atas perkara pertikaian dan ketidakpuasan hati berkaitan Guru Utama PSCSPSM dan berkaitan Kepimpinan PSCSPSM kepada penuntut-penuntut Silat Chekak Silat Papan Sekeping dan ahli-ahli Persatuan.  

  

b)    Sebarang pertanyaan atau perkara yang berlakunya salah faham dari kalangan pemohon- pemohon, mereka boleh berhubung terus kepada Guru Utama PSCSPSM atau Naib Presiden 2 PSCSPSM.   

  

              


 

2)    Pernyataan Dan Peringatan Tegas PSCSPSM.  

  

MTPT dan Jawatankuasa Induk PSCSPSM dengan ini memberi Pernyataan Dan Peringatan Tegas kepada pemegang-pemegang jawatan dan ahli-ahli Persatuan yang tidak dapat menerima dan menolak kepimpinan Guru Utama PSCSPSM seperti berikut :- 

  

a)    Anda dikehendaki menarik diri dari segala aktiviti Persatuan dan aktiviti Perguruan.  

b)    Sila hentikan perbuatan memfitnah, menghina, mengadu domba, menghasut, berburuk sangkaan, menjatuhkan kepimpinan Guru Utama PSCSPSM dan hentikan penyebaran perkara-perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan, perbalahan, salah faham dan mengganggu gugat perpaduan serta keharmonian sesama ahli-ahli Persatuan dan Perguruan samada secara lisan atau dengan pernyataan melalui media sosial seperti  WhatsApp, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. 

c)    MTPT dan Jawatankuasa Induk PSCSPSM berhak mengambil Tindakan Tegas ke atas mana-mana ahli Persatuan yang melanggar Pernyataan Dan Peringatan Tegas PSCSPSM ini.  

   

Keputusan Pernyataan Dan Peringatan Tegas PSCSPSM ini dibuat bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah diusahakan oleh Guru-Guru terdahulu bagi meneruskan hala tuju Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia. Perbuatan salah laku atas perkara menyampai-nyampaikan perkara pertikaian, tuduhan dan menghasut pemikiran yang menimbulkan rasa sangsi, perbalahan atau permusuhan sehingga memecahbelahkan perpaduan dalam persatuan adalah perbuatan yang salah malahan tidak pernah diajar oleh Guru-Guru terdahulu.   

 

Silat adalah antara cabang budaya Melayu turun temurun yang tetap dipimpin oleh Guru-Guru Melayu sendiri sebagai budaya bangsa dengan adat dan adab yang diterapkan bersama ilmu mempertahankan diri. Maka silat adalah silaturrahim iaitu memerlihara hubungan baik. Dan dapat pula difahami silat bermaksud gerak yang terpelihara, namun tidak kurang juga yang mengambilnya sebagai alat dakyah perpecahan. 

 

Maka pada perkara yang baik tentu ada buruknya.  

-          Apabila ada yang suka tentu ada yang benci  

-          Apabila ada yang sokong pasti ada yang bangkang 

-          Apabila ada pejuang begitu juga ada pengkhianat 

 

Sepertimana pesanan dan ingatan Guru-Guru kita kepada semua ahli-ahli persatuan dan pengamal silat ialah jauhi kebanyakan sangka. Anggaplah keburukan kawan sebagai kelemahan atau kelalaian yang perlu dibaiki bersama demi menjaga perpaduan sedangkan keadaan lemah dan lalai juga ada pada setiap diri.


 

“Cari yang baik disebalik setiap yang buruk”

“Kekuatannya dipuji kelemahannya dicaci keji?”

“Keindahannya dipuja keburukannya dicerca?” 

  

Taat ke guru, ada berkat. 

Taat ke ibu bapa, ada karamah dan hikmah. 

Tidak bergaduh sesama ahli, ada maunah. 

Tidak mencaci, ada jemaah. 

  

Walau Sebak Selubongi Jiwa, 

Angkara Muridnya Khianat Dan Dusta, 

Namun Allah Pasti Ada, 

Tiba Masanya Di Hitung Bicara.   

  

Apabila menuntut ilmu ia belajar mengenal bismillah (إِقرَأ) dan Al-Fatihah pada khususnya yang dilalukan melalui lidah guru-guru kita maknanya ia "tahu". Kemudiannya Al-Baqarah, tujuan belajar mesti mengenal  علم  pada asasnya "ilmu: belajar", "alim: tahu dan mengetahui",   "alam: segala pengetahuan". Pada orang islam yang mahu memikirkannya dan mahu memahaminya harus meningkatkan martabat ilmunya. Ilmu Allah Swt meliputi segalanya, apabila telah "rasa" itu juga zat Allah dan apabila tidak dapat "rasa" itu juga  zat  Allah,  hujungnya  kita  kembali  kepada  Allah.  Ikutlah  garis  panduan  Al-Quran  dan  Sunnah Nabi Muhammad  dalam kehidupan harian.

 

 “INSYAA ALLAH PASTI BERJAYA”

 

Wasiat Guru-Guru  

” Bersihkan diri pada zahirnya dan sucikan hati pada batinnya sehingga disifatkan sebagai air mutlak iaitu

suci dan boleh menyucikan ” 

 

 

Selawat dan salam keatas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya serta para sahabatnya.  

Semoga mendapat petunjuk dan sejahteralah orang yang mengikut petunjuk Allah – taatkan Allah dan taatkan RasulNya. 

 

 

Sekian. Pernyataan, Peringatan dan Makluman.  

 

 

Majlis Tertinggi Pelajaran dan Tatatertib

Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia  

4 Januari 2023 bersamaan 11 Jamadilakhir 1444H



LAMPIRAN PENUH

Renungan

Wajib Menjaga Diri Sendiri,

Menerima Amanah Tuhan Rabbi,

Untuk Menjadi Mukmin Sejati,

Demi Menegak Islam Yang Suci.


Taat Ke Guru Membawa Berkat ,

Sedikit Belajar Banyak Yang Dapat,

Jika Menderhaka Mendapat Mudharat,

Semua Ilmu Tiada Yang Lekat.


Dari Mata Turun Kehati,

Tak Kenal Maka Tak Cinta,

Lain Dimulut Lain Dihati,

Adat Berkasih Hendaklah Setia.

Galeri Gambar

Hubungi Kami

  • Alamat Surat Menyurat:
    No. 31, Lorong Keramat 19,
    Dato' Keramat, 54000 Kuala Lumpur,
    Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Tel:
    019.245.9154
    - En. Mohamad Junaidi bin Ishak
    Ketua Penerangan
    016.935.7922 - En. Elham Budi bin Mohd Rozali
    Setiausaha Majlis Tertinggi Pelajaran & Tatatertib (MTPT)
    017.386.3826 - Pn. Norazizah binti Johar
    Ahli Majlis Tertinggi Pelajaran & Tatatertib (MTPT)
Anda Di Sini : Home Pengurusan Persilatan Setiausaha MTPT PERNYATAAN & PERINGATAN TEGAS PSCSPSM