Kenyataan Rasmi PSCSPSM
- 19 October 2022
- Hits: 1490
Kenyataan Rasmi PSCSPSM
Kenyataan Rasmi PSCSPSM
بِسْمِاللَّهِالرَّحْمَنِالرَّحِيم
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Dengan dukacitanya dimaklumkan bahawa Tuan Tabib Mohd Soleh bin Hussin, Guru Utama dan Presiden Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM) telah kembali ke rahmatullah pada hari Khamis 13hb Oktober 2022, bersamaan 16 Rabiulawal 1444H jam 9.55 pagi di rumah kediamannya. Almarhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor
Salam Takziah buat Balu Almarhum, Puan Faridah binti Hussin serta anak-anaknya dan juga seluruh kaum keluarga Almarhum Tuan Hj Hussin bin Mohamad (Pak Hussin Kelantan) di atas pemergian Almarhum Tuan Tabib Mohd Soleh bin Hussin.
Sebagai Guru Utama, Almarhum telah banyak mendidik, mencurahkan ilmu, tunjuk ajar dan membimbing bukan sahaja dari sudut persilatan tetapi juga sudut kehidupan dunia dan akhirat. Sebagai Presiden PSCSPSM, bimbingan Almarhum telah memastikan pengurusan PSCSPSM dapat ditadbir dengan cekap, cemerlang dan harmoni. Di samping itu tanggungjawab Almarhum sebagai Tabib Perubatan Herba Melayu/Arab dan Pendakwah Bebas juga telah banyak berjasa dan berbakti kepada masyarakat umum.
Dengan penerapan “Menjana Jatidiri dan Berakhlak Tinggi” serta “Kepimpinan dan Tauladan” yang berteraskan aspek INSAN, ILMU, AMAL dan KASIH SAYANG kepada ahli-ahli seluruh Semenanjung Tanah Melayu menjadikan Almarhum senantiasa dihormati, disegani dan dikasihi oleh seluruh warga PSCSPSM.
Keperibadian Almarhum yang senantiasa meluangkan masanya seperti seorang Ayah, Abang, Sahabat, Guru atau pun Presiden ketika berbicara amat memberi kesan di hati dan disenangi masyarakat terutama warga Silat Chekak Silat Papan Sekeping. Almarhum akan dikenang sampai bila-bila.
Pemergian Almarhum merupakan kehilangan yang amat besar kepada masyarakat secara umumnya dan kepada PSCSPSM khasnya. Semoga segala amalnya diterima dan ditempatkan bersama orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah.
وَمَنْ يُّطِعِ اللّٰهَ وَالرَّسُوْلَ فَاُولٰۤىِٕكَ مَعَ الَّذِيْنَ اَنْعَمَ اللّٰهُ عَلَيْهِمْ مِّنَ النَّبِيّٖنَ وَالصِّدِّيْقِيْنَ وَالشُّهَدَاۤءِ وَالصّٰلِحِيْنَ ۚ وَحَسُنَ اُولٰۤىِٕكَ رَفِيْقًا
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNYA, maka mereka itu akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama dengan orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” (An-Nisa: 4:69)
Sebagaimana yang diamanahkan oleh Guru-Guru Silat Chekak Silat Papan Sekeping dan sokongan daripada seluruh keluarga Almarhum, perjuangan PSCSPSM dalam menyampaikan Silat Chekak Silat Papan Sekeping kepada masyarakat akan tetap diteruskan.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ
Disediakan oleh:
Jabatan Penerangan
Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM)